PENGALAMAN DI KOLEJ
Bismillah
Lafaz ini aku ucapkan sewaktu pertama kali memasuki perkarangan kolej pada hari pertama pendaftaranku di Universiti Putra Malaysia (UPM).Debaran terasa kian menyesakkan dadaku kerana ini pertama kali seumur hidupku bakal tinggal di kolej. Aku kuatkan diri untuk mengorak langkah sendirian di kolej ini kerana aku tidak mengenali seorangpun insan di kolej ini.
Usai pendaftaran dan pemindahan barang-barang ke bilik bersama ibu dan abangku, hati mula berasa sayu dan sedih kerana bakal ditinggalkan keseorangan di kolej. Jiwa mula meruntun saat ibu berkata "duduk elok-elok, jangan lupa solat dan pandai-pandai bawa diri"
Air mata mula bergenang di kelopak mata ini, sedihnya hati bukan kepalang. Hati bertambah sedih mengenangkan tentang tiada bapa disisi untuk menghantarkan ku di menara gading ini. Sudah pasti jika arwah masih ada, pasti dia antara orang yang paling bahagia selepas ibuku.
Aku redha, mungkin ini sudah menjadi takdirku. Aku sedar, Allah tidak akan menguji seseorang hamba itu diluar kemampuan dirinya.
Saat berpisah merupakan perkara yang aku tidak mampu mengelakkan daripada mengalirkan air mata. Aku cuba sedaya upaya menahan air mata daripada jatuh. Namun aku tidak mampu, berpisah dengan keluarga sangat menyedihkan hati di tambah pula jarak yang bakal memisahkan kami adalah beratus km.
Aku peluk erat ibuku sambil kami mengalirkan air mata. Entahlah, rasa sedih, pilu serta gembira itu bercampur baur. Namun, aku harus tekad dan kuat dalam menghadapi ujian ini, kerana aku tahu sebuah kejayaan itu perlukan perjuangan dan pengorbanan.
Kami berpisah, hati kelam bukan kepalang.
Pada malam pertama tidurku, sudah tentu tidak nyenyak mengenangkan ibuku serta adik-adik di rumah. Di tambah pula, keperluan diri menyesuaikan diri di tempat baharu sangat menganggu tidurku.
Sukar untuk melapkan mata sehingga dalam keadaan begini. Air mata, usah dihitung banyaknya mengalir bersama kepekatan malam itu. Namun, akhirnya aku mengalah bersama lelahnya siang tadi dan tidur dalam keadaan bersedih.
Namun, aku bersyukur dapat menyesuaikan diri di tempat baharu dengan cepat. Pengalaman ku sepanjang berada di kolej adalah cukup menarik.
Apa yang menarik adalah aku berdikari dalam membasuh pakaian dengan cara manual, ini kerana untuk menggunakan mesin basuh baju perlu menunggu giliran yang lama.
Aku juga berjaya mengurus semua urusan ku sendiri tentang bagaimana untuk menyusun barang-barang dan pakaian dengan baik memandangkan bilik yang disediakan oleh kolej sangatlah sempit untuk 4 orang diami.
Aku juga bersyukur mendapat rakan sebilik yang baik. Sepanjang berada di bilik itu, tidak pernah sekalipun kami berselisih faham atau ada kejadian yang aneh berlaku seperti kecurian barang. Dalam tak sedar, Allah mendengar doaku untuk dikelilingi oleh orang yang baik-baik.
Menarik tentang rakan sebilikku adalah kami akan solat bersama-sama serta mengaji pada waktu Maghrib kerana waktu ini sahaja kami punya waktu untuk bersama.
Untuk ku ceritakan semua pengalamanku di kolej pastinya panjang lebar. Namun, aku mahu ringkaskan bahawa pengalamanku sepanjang di kolej adalah cukup menarik dan gembira. Itulah pengalamanku di kolej bermula dari hari pertama sesi pendaftaran di kolej 14.
Comments
Post a Comment